- Lain-lain
Lawatan Xi ke Asia Tengah, Batu Tanda Sejarah
Lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Asia Tengah disifatkan sebagai satu batu tanda dalam sejarah. Dalam lawatan selama 48 jam di Kazakhstan dan Uzbekistan, beliau telah menghadiri lebih 30 aktiviti dua hala dan pelbagai hala. Hasilnya dilihat membantu mendorong Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) berkembang ke satu tahap yang baharu, di samping memicu penaiktarafan hubungan China dengan negara-negara berkenaan.
Ketika menghadiri Sidang Kemuncak Samarqand, Xi menyampaikan ucaptama yang menegaskan peri pentingnya untuk saling meningkatkan sokongan, mengintensifkan kerjasama keselamatan, memperdalam kerjasama substantif, memperkasa pertukaran sosiobudaya dan mempertahankan multilateralisme. Selanjutnya, China mengemukakan sejumlah saranan yang turut mendapat sambutan hangat dari pelbagai pihak, misalnya menubuhkan pangkalan latihan antikeganasan untuk tenaga profesional China-SCO, mengadakan forum rantaian pembekalan industri, membangunkan pusat kerjasama data raya, dan membekalkan bantuan bijirin kemanusiaan kecemasan bernilai RMB150 juta (RM97.41 juta).
Dimaklumkan, sidang kemuncak kali ini juga menyaksikan munculnya tiga 'paling' dalam sejarahnya, iaitu paling produktif dengan sebanyak 44 dokumen termeterai, paling luas penglibatannya dengan kehadiran seramai 14 pemimpin negara dan 9 penanggungjawab pertubuhan antarabangsa, dan paling banyak anggota baharu yang diterima. SCO bukan sahaja menerima Iran sebagai negara anggota rasminya, tetapi juga memulakan prosedur pengesahan terhadap permohonan keanggotaan Belarus, di samping mengesahkan permohonan Mesir, Saudi Arab dan Qatar serta menerima Bahrain, Maldives, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Myanmar sebagai rakan dialog yang baharu.