- Lain-lain
China Jadi Pilihan Utama Syarikat Eropah
Canselor Jerman Olaf Scholz ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kejuruteraan Mekanik Berlin baru-baru ini mengulangi sokongan terhadap globalisasi, menyifatkan 'teori cantas hubungan' sebagai salah sama sekali dan menegaskan ingin menjalankan perniagaan dengan pelbagai negara di dunia termasuk China.
Suara rasional tersebut berbaloi dan patut didengari masyarakat antarabangsa apabila ‘teori cantas hubungan’ dicanangkan sesetengah negara sejak sekian lama dan risiko kemelesetan ekonomi global semakin meningkat buat masa ini.
Kini, semakin banyak syarikat dari benua Eropah memilih berniaga dengan China yang berstatus 'pasaran dunia' dan 'kilang dunia'.
Ia bukan sekadar membantu memperbaik kehidupan rakyat China, malahan menawarkan lebih banyak peluang pembangunan kepada negara-negara lain.
Difahamkan, lebih 280 buah syarikat tersenarai Fortune Global 500 dan industri peneraju akan menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-5 yang bakal diadakan pada awal November depan.
Dijangka bahawa produk berkualiti dari lebih banyak negara akan memasuki pasaran China demi situasi sama menang.
Pada masa sama, status China sebagai sumber bekalan global yang penting tidak boleh digantikan.
China adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai kesemua kategori industri menurut Klasifikasi Perindustrian Piawai Antarabangsa (ISIC).
Lebih 40 peratus daripada 500 jenis produk perindustrian utama yang dihasilkan China merekodkan output paling tinggi di dunia.
Sejak 2020, China kekal sebagai rakan dagangan barangan yang terbesar bagi EU selama dua tahun berturut-turut.
Untuk rekod, nilai keseluruhan import dan eksport antara China dengan EU buat julung kalinya melepasi USD800 bilion (RM3.75 trilion) pada tahun lepas.
Prestasi itu mencerminkan kolaborasi ekonomi dan perdagangan menjadi dorongan positif kepada pembangunan kedua-dua pihak, dan momentumnya harus dikekalkan untuk jangka masa panjang.