- Lain-lain
PM Li Seru Bersinergi Pacu Kemakmuran Asia Timur
Perdana Menteri China, Li Keqiang menyeru supaya pihak-pihak terbabit berkongsi peluang dan memperkasakan kolaborasi bagi mencapai keamanan, kestabilan serta kemakmuran berkekalan di rantau Asia Timur.
Ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) edisi ke-17 yang berlangsung pada Ahad, beliau menyatakan bahawa dalam konteks situasi antarabangsa yang rumit buat masa ini, suara-suara yang mahukan keamanan dan pembangunan semakin lantang kedengaran.
Justeru beliau menyarankan supaya semua pihak berpegang kepada dialog strategik, melakukan interaksi konstruktif, mengukuhkan rasa saling percaya dan menangani perselisihan dengan baik.
Katanya, sinergi juga perlu dibentuk untuk memperkasa kerjasama saling untung serta menangani pelbagai risiko dan cabaran, di samping melaksanakan sepenuhnya perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Adalah penting untuk memastikan kestabilan dan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan, serta keselamatan tenaga dan makanan, sekali gus bekerjasama mengatasi perubahan iklim dan cabaran persekitaran ekologi," tambah beliau.
Li turut menekankan perlunya menjunjung pemusatan ASEAN dan membentuk landskap serantau yang inklusif.
Menyentuh isu Laut China Selatan, beliau mengulangi pendirian konsisten China dalam memelihara keamanan, kestabilan dan kelancaran laluan pelayaran di perairan berkenaan.
"China bersedia bersama negara ASEAN mempercepat rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) bersandarkan semangat Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan (DoC) di Laut China Selatan dan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).”
"Semua pihak terlibat hendaklah beriringan ke arah membina Laut China Selatan menjadi laut yang aman, dilimpahi persahabatan dan kerjasama,”ujar Li.