- Lain-lain
Isteri Presiden China Ditemui Wanita Pertama Indonesia
Program pertukaran membabitkan kebajikan awam antara China dengan Indonesia diharap terus dirancakkan demi kesejahteraan rakyat dua negara.
Harapan itu dizahirkan isteri Presiden China Xi Jinping, Peng Liyuan semasa pertemuan bersama Wanita Pertama Indonesia Iriana di sini, pada Rabu.
Selain menghargai jasa Iriana yang berkecimpung dalam kebajikan awam, beliau turut mendedahkan lebih banyak butiran mengenai dasar dan pencapaian China dalam merawat dan mencegah tuberkulosis (TB) dan HIV/AIDS.
Ketibaan isteri Presiden China itu dialu-alukan dengan persembahan alat muzik gamelan yang dimainkan belia tempatan.
Iriana menyapa mesra dengan memberi salam kepada Peng dan bergambar bersama tetamu dari negara Tembok Besar itu.
Diiringi Iriana, Peng dibawa melihat pameran kraftangan dan pertunjukan seni budaya tradisional Indonesia, dan turut tertarik dengan persembahan tarian Pendet oleh gadis tempatan yang lengkap berpakaian tradisional.
Sebelum pertemuan berakhir, Peng dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu Indonesia Bengawan Solo dalam bahasa Cina oleh pelajar dari Institut Tourism Confucius, Universiti Udayana di Bali.
Selepas itu, beliau berinteraksi secara mesra bersama pelajar berkenaan dengan menggalakkan mereka terus bertekun untuk menguasai bahasa Cina, dan mengalu-alukan lebih ramai belia melawat China, mempelajari budaya Cina sehingga menjadi duta kerjasama China-Indonesia.