- Lain-lain
‘Buatan China’ Bantu ‘Piala Dunia Hijau’ di Qatar
Meskipun tidak terlibat dalam pertandingan Piala Dunia 2022 di Qatar yang membuka tirainya pada Ahad, kehadiran China masih dapat dilihat di negara Asia Barat itu.
Difahamkan, elemen-elemen China seperti di padang bola sepak, jaringan pembekalan air, dan jaminan bekalan elektrik jelas tertonjol pada temasya yang julung-julung kalinya diadakan pada musim sejuk.
Sebagai padang utama edisi ini, Stadium Lusail di Qatar yang berkapasiti 80 ribu penonton akan menjadi venue untuk 10 pertandingan termasuk pertandingan akhir.
Stadium Lusail yang juga stadium terbesar di Qatar dibina oleh Korporat Pembinaan Kereta Api China (CRCC), dan juga merupakan stadium Piala Dunia pertama syarikat China selaku kontraktor pereka bentuk dan pembina.
Untuk rekod, dalam proses pembinaan tersebut, perusahaan China telah mencipta beberapa banyak rekod dalam industri.
Ketua Pengurus CRCC, Li Chongyang berkata, Stadium Lusail adalah stadium bola sepak yang paling canggih dengan skalanya paling besar dan sistemnya paling kompleks.
Sementara itu, pihak tuan rumah, Qatar, turut memberikan penilaian yang tinggi.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia Qatar, Hassan Al Thawadi berkata stadium itu mempamerkan kemampuan teknik dan taraf perkhidmatan syarikat China.
"Kesemua penonton perlu berterima kasih kepada jurutera dan pembina dari China," ujar beliau.
Selain itu, Syarikat Gezhouba China juga terlibat dalam dua takungan dan kemudahan terbabit bagi bahagian selatan ‘Projek Takungan Strategik’ yang dimulakan Qatar pada tahun 2015.
Dalam pada itu, China turut menjadi kunci dalam bidang penjanaan sumber baharu di Qatar.
Sebagai makluman, loji janakuasa fotovoltaik berkapasiti 800 megawatt di Alcazar boleh memenuhi 10 peratus keperluan puncak kebangsaan, sekali gus memperhebat kadar sumber kitar semula dalam penggunaan tenaga.
Ia bukan sahaja menyediakan jaminan elektrik semasa temasya sukan terbabit, malah turut menjadi langkah penting bagi Qatar menunaikan janjinya "Piala Dunia Hijau".