- Lain-lain
Warga Emas China Bakal Nikmati "Lingkaran Perkhidmatan 15 Minit"
Setakat penghujung 2021, China merekodkan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas berjumlah 267 juta orang.
Dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021-2025) mengenai Pembangunan Ekonomi dan Masyarakat China, negara Tembok Besar ini akan mencapai status negara tua dari peringkat ringan ke peringkat sederhana, dengan lebih 90% penduduk tua akan hidup secara berdikari atau bergantung pada perkhidmatan komuniti.
Seiring dengan purata umur hidup semakin meningkat, isu penuaan penduduk turut perlu dihadapi kerajaan pelbagai negara dan seluruh masyarakat.
Sidang Kongres ke-20 Parti Komunis China juga mengeluarkan rancangan untuk menghadapi trend itu, iaitu melaksanakan dengan aktif strategi menangani isu peningkatan nisbah penduduk tua dalam masyarakat, dan mendorong agar semua warga emas dapat menikmati perkhidmatan asas.
Menurut FYP Ke-14 mengenai Pembangunan Ekonomi dan Masyarakat China serta Wawasan Jangka Panjang 2035, China akan membina "lingkaran perkhidmatan 15 minit"untuk warga emas, menyempurnakan sistem perkhidmatan yang menyelaraskan kehidupan di rumah, komuniti dan agensi berkenaan.
Sebanyak 1,000 buah komuniti mesra orang emas disasarkan ditubuhkan setiap tahun, dengan disediakan sokongan yang melibatkan perjalanan, perubatan, penggunaan dan hiburan terhadap orang emas.
China juga akan menggalakkan perkhidmatan "internet + kesihatan" dan "internet + perkhidmatan penjagaan" yang bertujuan memudahkan warga emas yang hidup secara berdikari.