- Lain-lain
Bandar-bandar China Ambil Langkah Rangsang Pemulihan Ekonomi
Beberapa bandar di China mengambil langkah konkrit untuk merangsang penggunaan dan menstabilkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan pengubahsesuaian kawalan wabak COVID-19 baru-baru ini.
Kerajaan Shenzhen, provinsi Guangdong telah memperuntukkan lebih 150 bilion yuan bagi mengurangkan beban syarikat tempatan dengan pelaksanaan beberapa dasar tahun ini. Tindakan tersebut membantu kebanyakan entiti pasaran untuk mengatasi masalah kewangan dan menyambung semula pengeluaran, kata Wang Jun, timbalan pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Shenzhen.
Dari segi pengguna, Shenzhen menambah kuota pemilik plat pendaftaran dan menawarkan subsidi untuk menggalakkan penduduknya membeli kenderaan tenaga baharu atau hibrid, ujar Wang ketika menghadiri sidang media baru-baru ini.
Langkah lain termasuk mengadakan acara bagi mempromosi pelancongan serta memberi diskaun kepada tiket tempat pelancongan milik negara sehingga hujung bulan Mac. Untuk memanfaatkan “ekonomi malam”, pusat membeli-belah dan kedai-kedai tepi jalan di Shenzhen dibenarkan memanjangkan waktu perniagaan.
Banyak aktiviti kesenian, kebudayaan dan sukan sedang dirancang. Yang telah dijadualkan termasuk Maraton Nanshan, Biennale Seni Bina Urbanisme Shenzhen-Hongkong, Pameran Glow Shenzhen 2022 serta Festival Makanan dan Budaya Rakyat Tiram Emas, kata Wang.
Bandar Chengdu, provinsi Sichuan, salah satu tempat pelancongan paling popular di China, juga sedang merancang sesuatu yang besar. Bandar ini menawarkan tarikan baharu, iaitu hidangan makanan berserta persembahan seni atau kreativiti berunsurkan budaya, untuk menggalakkan perbelanjaan dengan menyasarkan hujung minggu, cuti Tahun Baharu dan cuti Tahun Baharu Cina.
Bagi merangsang penggunaan, bandar Fuzhou, iaitu ibu kota provinsi Fujian, mengecualikan kos pengangkutan awam pada semua cuti umum dan hujung minggu sehingga 28 Februari.
Kerajaan Beijing juga mengambil langkah-langkah seperti mengurangkan cukai dan bayaran, meningkatkan lagi sokongan dari segi dasar dan kewangan, dan menangani masalah tunggakan hutang, bagi meringankan beban perusahaan, memenuhi jangkaan pasaran dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Menurut statistik pihak berkuasa, setakat ini, jumlah cukai dan bayaran yang dikurangkan tahun ini mencecah 200 bilion yuan, dan sebanyak 920 juta hutang tertunggak telah dilangsaikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pada bulan Mei, kerajaan Beijing juga mengemukakan satu polisi yang membenarkan sektor katering, runcit dan pengangkutan menangguhkan pembayaran insurans sosial untuk mengekalkan operasinya, menstabilkan pasaran pekerjaan dan memastikan mata pencarian orang ramai tidak terjejas.
- Ekonomi China Jauh Lebih Baik: Ahli Ekonomi UK
- Pucuk Pimpinan PKC Kaji Kerja Ekonomi 2023
- Kementerian Kewangan akan Edar Bon 5 Bilion di HK
- Sektor Kurier China Saksi Pemulihan Makin Pesat
- Indeks Kemakmuran Runcit China Rekod 48.7% pada Disember
- Polisi untuk Stabilkan Pembiayaan Hartanah
- China Terus Sumbangkan Dorongan kepada Pemulihan Ekonomi Global
- Pakar: Ekonomi China Tunjuk Pemulihan Bentuk ‘V’
- 10 Bandar Paling Berpotensi di China
- Pelabur Asing Tetap Optimistik terhadap Pasaran China