- Lain-lain
Menteri Luar China Gesa Hormati Kedaulatan, Integriti Wilayah Negara Timur Tengah
Kedaulatan dan integriti wilayah negara-negara di Timur Tengah perlu dihormati, kata Menteri Luar China Qin Gang.
Semasa bertemu media bersama rakan sejawatnya dari Mesir Sameh Shoukry di Kaherah, Qin membuat kupasan lanjut tentang dasar China terhadap Timur Tengah (China's Middle East policy).
Menurut beliau, negara-negara terbabit digalakkan berdialog dan berunding untuk menemui penyelesaian yang bersesuaian dengan keadaan serantau, selain mengambil kira kepentingan semua pihak dan boleh diterima bersama.
“Perlunya lebih banyak sokongan diberi kepada negara di rantau itu dengan tujuan membantu mereka mengatasi cabaran keselamatan makanan dan tenaga.
“Pada masa sama, sinergi harus dibentuk untuk melumpuhkan aktiviti keganasan dan bertindak mencegah kumpulan pengganas dan pelampau mengambil kesempatan daripada huru-hara,” ujar Qin.
Beliau turut menyeru negara-negara di luar rantau supaya menghormati kedaulatan negara Timur Tengah dan tidak mencampuri urusan dalaman negara berkenaan.
“Adalah penting untuk mengamalkan multilateralisme yang jitu, menghormati sejarah, budaya dan tradisi Timur Tengah, serta menyuntik tenaga positif ke dalam keselamatan dan kestabilan rantau itu,” tegas Qin.
Beliau juga mengulangi pendirian konsisten China dalam menyokong rakyat Timur Tengah meneroka secara berdikari jalan pembangunan mereka sendiri, dan menyokong negara berkenaan merungkai isu keselamatan rantau melalui kerjasama dan perpaduan.
“Selain komited terhadap pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Inisiatif Pembangunan Global, kami (China) mengesyorkan supaya Timur Tengah mewujudkan kerangka keselamatan yang komprehensif, kolaboratif dan lestari,” jelas Qin.
Beliau berjanji China akan menyumbangkan kebijaksanaan dan saranan kepada penyelesaian isu rantau melalui pendekatan politik, di samping bergiat dalam aktiviti pertukaran budaya dengan negara Timur Tengah serta melindungi kepelbagaian tamadun dunia.
- Pelancaran Buku di Malaysia Peringati Ulang Tahun Penting BRI
- Xi, Marcos Adakan Pertemuan Empat Mata
- BRI Bawa Kesejahteraan kepada Rakyat Pelbagai Negara
- Mesyuarat Majlis Kedua BRNN Berlangsung
- Kerjasama China-GCC Lebih Dinamik
- China, Arab Kongsi Visi Pembangunan
- Kerjasama BRI China-Arab Terus Berputik
- Kerjasama China-Arab Lakar Kecemerlangan
- Perkhidmatan Kereta Api China-Laos Pamer Prestasi Cemerlang
- Institut Standardisasi Automobil China Ditubuhkan