- Lain-lain
Gunung Helan: Berubah Wajah Sepanjang Tahun
Terletak di tengah-tengah tanah besar China, Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia yang seluas 66,400 kilometer persegi merupakan tempat tertumpunya banyak tarikan pelancongan termasuk gunung, tasik, gurun gobi, padang pasir, padang rumput dan tanah lembap. Variasi dalam landskapnya memberi bumi Ningxia gelaran "bonsai miniatur China".
Di sebelah utara, terbentang luas gurun keempat besar di China iaitu Padang Pasir Tengger. Di situ letaknya gunung Helan yang menghalang penghakisan gurun terhadap tanah lain dan juga melemahkan aliran udara sejuk dari Siberia. Oleh itu, gunung Helan juga dipanggil “Gunung Bapa”.
Gunung Helan dalam awan. (foto: Zheng Hairong/People.cn)
Kecantikan gunung Helan begitu mempesona. Pemandangannya berubah-ubah sepanjang tahun.
Pada musim bunga, bunga badam mengharumkan gunung, gerombolan kambing biri-biri duduk di padang, burung pegar bertelinga biru bermain di situ. Taburan kambing biri-biri bagi setiap kilometer persegi menduduki tempat teratas di dunia. Pemandangan yang meriah pada musim bunga membuatkan pelancong terleka dan lupa untuk kembali.
Langit berbintang di gunung Helan. (foto: Biro Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Ningxia)
Pada musim panas, gunung pain beralun-alun seperti gelombang di laut. Ketinggian sesuai dan polusi cahaya yang kurang menjadikan gunung Helan lokasi yang baik untuk melihat bintang. Berkhemah di kaki gunung Helan, pelancong seolah-olah boleh menggapai langit malam umpama hendak memetik bintang dengan jari-jemari, dan mendengar kisah-kisah dari zaman purba diceritakan oleh lukisan batu.
Pada musim gugur, pemandangan gurun menjadi terindah. Pelancong boleh datang ke mana-mana kilang wain untuk merasai wain dan makanan lazat, menikmati pemandangan dan menyingkap kisah-kisah wain China yang unik.
Sinar mentari di permukaan salji, gunung Helan berkilau-kilau keemasan. (foto: Qi Yingtao/People.cn)
Pada musim sejuk, gunung Helan ditaburi salji. Matahari terbit dan bersinar atas salji, menyalut gunung dengan kilauan keemasan, menambahkan daya hidup dan kepuitisan kepada pemandangan musim sejuk.
Rasa cinta tiada sempadan, yang indah permai tidak perlukan kata. Kemaskan bagasi, jejakkan kaki ke gunung Helan, lihat langit malam diterangi bintang, biarkan diri dibuai mimpi-mimpi manis, hayati keindahan alam, damaikan jiwa di situ.