- Lain-lain
Pertunjukan Dron Makin Biasa Apabila Ekonomi Meningkat
Pertunjukan dron di bandar Tianjin. (Sumber gambar: Xinhua) |
Peta pertunjukan dron yang disimpan Zhang Yun di telefon bimbitnya mendedahkan bahawa sejak awal tahun ini, sebanyak 100,000 penerbangan dron untuk persembahan udara telah diatur oleh syarikatnya di seluruh China.
Menurut Zhang, timbalan pengurus besar EFY-Tech yang berpangkalan di Tianjin, utara China, syarikat itu telah mengadakan 56 persembahan formasi kenderaan udara tanpa pemandu di 30 bandar termasuk Tianjin, Hangzhou di provinsi Zhejiang, Taiyuan di provinsi Shanxi, Xi'an di provinsi Shaanxi dan Guangzhou di provinsi Guangdong, setakat tahun ini.
"Carta itu bukan sahaja menggambarkan peta perniagaan EFY-Tech tetapi juga menjadi bukti bahawa iklim ekonomi China berkembang pesat," katanya.
Zhang seterusnya berkongsi bahawa pertunjukan terbesar tahun ini adalah di Chongqing, barat daya China pada malam Tahun Baharu Cina.
Semasa acara luar biasa ini, EFY-Tech menggunakan 3,000 dron untuk persembahan selama 15 minit di atas Chaotianmen, sebuah mercu tanda Chongqing. Acara berkenaan menarik kehadiran lebih 100,000 penonton serta lebih 300 juta tontonan dalam talian.
"Jumlah persembahan dron tahun ini beberapa kali lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lepas," kata Zhang.
Selain daripada perusahaan yang telah bertapak lama seperti DJI, pelbagai perusahaan China yang inovatif telah muncul dalam industri pengeluaran dron sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dalam bidang seperti persembahan udara dan tinjauan pemeriksaan udara, yang menonjolkan pendekatan perintis China terhadap penggunaan UAV.
Menurut Zhang, selain pasaran domestik, EFY-Tech telah menyaksikan peningkatan permintaan untuk pertunjukan dron dari negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi.
Persembahan formasi UAV syarikat itu boleh menampilkan 16 juta warna dan kesalinghubungan boleh direalisasikan dalam pelbagai mod seperti 4G, Wi-Fi dan radio. Kosnya pula telah berkurang lebih 30 peratus berbanding empat tahun lalu.
Sejak 2019, syarikat itu telah menjual lebih daripada 10,000 dron. Berdasarkan pesanan semasanya, ia dijangka menjual 10,000 hingga 20,000 dron tahun ini.
"Sejak awal tahun, pembekal dalam keseluruhan rantaian pengeluaran telah digerakkan berikutan lonjakan pesanan," kata Zhang.
Rantaian perindustrian yang dimaksudkan merangkumi 16 jenis pengeluar komponen teras seperti sensor, bateri, alat kawalan jauh dan penerima, bahan komposit serta kawalan penerbangan, navigasi dan sistem komunikasi.
- Syarikat Multinasional Terus Kembang Sayap di China
- Pelabur Asing Yakin Prospek Ekonomi China: CCPIT
- Potensi Penggunaan China Galak Ekonomi Dunia
- Prospek Ekonomi China 2023 Cerah
- Peningkatan Tahap Keterbukaan China Kondusif bagi Globalisasi Ekonomi
- Agregat Ekonomi China Dijangka Cecah RMB120 Trilion
- Kerja Ekonomi Tahun Hadapan Bernada Mantap
- Yakin Ekonomi China Melantun Semula Tahun Depan: Naib PM
- Objektif Perjuangan Melawan Wabak Selama Tiga Tahun Tercapai
- Ekonomi Gig Menjana pekerjaan di China