- Lain-lain
AUKUS Umum Pelan Pembinaan Kapal Selam Nuklear
Pakatan AUKUS membabitkan Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia mendedahkan pelan pembinaan kapal selam berkuasa nuklear baharu pada tahun-tahun akan datang.
Presiden AS Joe Biden, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak bertemu di pangkalan tentera laut di San Diego, California pada Isnin sebelum pengumuman mengenai rancangan itu.
Difahamkan, Australia dijangka membeli tiga buah kapal selam berkuasa nuklear kelas Virginia AS pada awal 2030-an dan mempunyai pilihan untuk membeli dua buah lagi.
Di bawah perjanjian AUKUS, tiga negara tersebut akan membangunkan kapal selam model baharu berasaskan teknologi AS dan Britain.
Pihak tentera Australia mendakwa, pelan yang dijangka siap pada 2055 itu menelan kos sebanyak AS$245 bilion (RM1.09 trilion).