- Lain-lain
Persekutuan Perlindungan Warisan Kebudayaan Asia Ditubuhkan
Presiden China, Xi Jinping menzahirkan ucapan tahniahnya kepada sidang Persekutuan Perlindungan Kebudayaan Asia menerusi sepucuk surat awal semalam.
Menurut beliau, Asia merupakan salah satu tempat asal usul yang penting dalam tamadun manusia.
Pada 2019, beliau mengeluarkan inisiatif untuk melakukan tindakan perlindungan terhadap warisan kebudayaan Asia dalam Sidang Dialog Tamadun Asia.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pihak berusaha secara bersama-sama untuk menjalankan kerjasama substantif dalam bidang penyelidikan tamadun purba, arkeologi, pemuliharaan tapak kuno dan interaksi muzium, sekali gus memberi sumbangan baharu Asia dalam perlindungan tamadun manusia.
Tegas Xi, penubuhan Persekutuan tersebut akan membawa manfaat bagi meningkatkan perlindungan warisan kebudayaan Asia, mengintensifkan interaksi tamadun Asia, memakmurkan kepelbagaian tamadun dunia dan menyumbang tenaga bagi kemajuan tamadun manusia.
“China bersedia bersama-sama dengan negara Asia untuk terus mempergiat pertukaran pengalaman dalam perlindungan warisan kebudayaan, mendorong kerjasama antarabangsa dalam bidang warisan kebudayaan, membentuk jaringan kerjasama dialog tamadun global, meningkatkan persefahaman dalam kalangan rakyat supaya mendorong kemajuan dan pembangunan tamadun manusia,” ujar beliau.
Sidang Persekutuan Perlindungan Warisan Kebudayaan Asia anjuran bersama Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China, Jabatan Artifak Negara dan kerajaan provinsi Shaanxi telah dirasmikan di bandar Xi’an pagi tadi.
Sidang kali ini disertai 21 buah negara Asia dan tiga pertubuhan antarabangsa utama dalam bidang warisan kebudayaan termasuk UNESCO, Pusat Perlindungan dan Pembaikpulihan Harta Benta Kebudayaan Antarabangsa (ICCROM) dan Tabung Antarabangsa Perlindungan Warisan Kebudayaan Terancam.
Pada hari yang sama, Deklarasi Xi’an Persekutuan Perlindungan Warisan Kebudayaan Asia akan diumumkan, manakala Pusat Penyelidikan Kerjasama Arkeologi Jalan Sutera akan turut membuka tirainya.
Selain itu, hampir 10 buah perbincangan bilateral dan pameran pencapaian tindakan perlindungan warisan kebudayaan Asia akan diadakan sempena sidang kali ini.