- Lain-lain
Teman Berkaki Empat “Hulur Tangan” Bantu Manusia
Tatkala bersenang-senang di rumah bertemankan binatang manjaan, pernahkah anda terfikir akan perkara-perkara lebih bermakna yang mampu dilakukan oleh sahabat-sahabat berkaki empat ini? Wu Qi, seorang pelatih haiwan yang usianya sudah menjangkau 30-an, telah mendemonstrasikan potensi tak terhingga haiwan peneman, dengan melatih lebih 300 ekor anjing yang kebanyakannya haiwan kesayangan untuk memberi bantuan kepada orang yang memerlukan.
Pelatih haiwan melatih seekor anjing di Shanghai, timur China, 28 Mei 2023. (Xinhua)
Di sebuah pusat sokongan untuk warga emas yang mengalami kecelaruan kognitif di daerah Fengxian, Shanghai, orang tua mengalu-alukan ketibaan anjing terapi yang comel.
Dibantu oleh sukarelawan yang berdedikasi, anjing-anjing tersebut melakukan interaksi dalam pelbagai bentuk serta latihan pemulihan yang berasaskan aktiviti. Sesi yang dimaksudkan di sini termasuk jenis-jenis senaman yang disesuaikan untuk membantu orang tua dari segi pemulihan kekuatan otot, dengan ada daripadanya yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan komunikasi dan mengekspresi diri.
Warga lanjut usia dapat merasai nikmat kasih sayang apabila sang anjing comel yang lemah lembut meletakkan kepala pada tapak tangan mereka ketika didakap.
“Ketakutan saya pada anjing sudah tiada lagi. Semuanya comel-comel. Saya baru saja membelai seekor anak anjing putih, dan si comel itu juga rela didakap,” kata Qi Yinfang, seorang pesakit berusia 67 tahun yang mengalami ketakmampuan kognitif tahap rendah. Maklum pusat sokongan berkenaan, perkhidmatan terapi berbantu haiwan yang diperkenalkan oleh pasukan Wu telah membawa impak ketara, khususnya dalam membangkitkan semangat pesakit-pesakit seperti Qi.
Kanak-kanak autistik, warga emas berkecelaruan kognitif, orang kurang upaya, ataupun mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, kesemuanya pelanggan sasaran pasukan terapi anjing yang diketuai oleh Wu Qi.
Dalam tempoh sedekad sejak Wu melancarkan program “Paws For Heal” pada tahun 2012, perkhidmatan seumpama telah mengubah hidup hampir 100,000 orang di bandar-bandar utama China seperti Shanghai, Beijing dan Nanjing.
Terapi berbantu haiwan atau animal-assisted therapy (AAT) bukanlah satu perkara baharu di negara-negara lain. Berdasarkan dapatan satu tinjauan pasaran yang dijalankan oleh pasukan Wu pada 2018, sudah ada lebih 50,000 anjing terapi di Amerika Syarikat sahaja. Namun begitu, industri ini masih lagi pada peringkat awal di China ketika itu, dan Wu sendiri hanya memiliki 20 ekor anjing terapi yang dilatih secara profesional di pangkalannya.
Oleh yang demikian, dia memutuskan untuk melatih binatang manjaan untuk menolong lebih ramai orang yang memerlukan, dan bukannya semata-mata bergantung pada anjing terapi profesional yang sedia ada.
Pelatih haiwan melatih seekor anjing di Shanghai, timur China, 28 Mei 2023. (Xinhua)
Pada bulan Februari, Persatuan Industri Haiwan Kesayangan China bersama Beijing Pethadoop Technology Co., Ltd. menerbitkan satu laporan mengenai industri binatang peliharaan yang berkembang pesat di negara ini. Menurut laporan itu, pada tahun lepas sahaja jumlah anjing kesayangan belaan warga bandar di China melebihi 50 juta.
“Saya harap niat saya ini dapat sampai ke hati populasi pemilik haiwan kesayangan dan menggalakkan mereka ikut sama terlibat dalam inisiatif kami. Haiwan kesayangan mereka mempunyai potensi cukup besar untuk membawa perubahan dan menolong orang lain,” kata Wu.
Pasukannya kini telah siap menyusun satu set kursus latihan komprehensif yang bertujuan meningkatkan sifat suka bergaul pada binatang manjaan selain aspek kepatuhan dan kemahiran berinteraksi, sambil mengurangkan kemungkinan haiwan itu bertindak balas secara keterlaluan.
Banyak tuan yang sudi menghulurkan tangan membantu, atau lebih tepat lagi jika dikatakan “tangan si comel berkaki empat” untuk menolong mereka yang memerlukan.
Jin Pei, nenek berumur 75 tahun yang berasal dari Shanghai, antara pemilik haiwan kesayangan yang murah hatinya. Anjingnya Biubiu telah menjadi pelawat tetap di pusat jagaan warga emas, rumah pemulihan kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan perkembangan, dan juga hospital.
“Pada satu malam Krismas, saya bawa pulang Biubiu, seekor anjing terbiar. Sejak itu, ia sudah menjadi anggota penting dalam keluarga saya. Anjing ini mengubati saya dengan menjadi teman dan memberi sokongan, jadi saya mahu ia menjadi anjing terapi dan mengubati lebih ramai orang,” kata Jin.