- Lain-lain
China Sokong Kerja PBB dalam Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita
Isteri Presiden Xi Jinping yang juga Duta Khas Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita, Prof. Peng Liyuan, bersama-sama dengan Ketua Pengarah Agung UNESCO Audrey Azoulay menghadiri upacara pemberian Anugerah Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita UNESCO 2023 di sini pada Khamis.
Prof. Peng Liyuan dan Audrey Azoulay memberikan anugerah kepada wakil dari Yayasan Kanak-kanak dan Remaja China dan Persekutuan Pendidikan Kanak-kanak Perempuan Pakistan.
Prof. Peng dalam ucapan pada majlis itu menyatakan bahawa China bekerjasama rapat dengan UNESCO, khususnya dalam penubuhan Anugerah Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita, menjadi teladan baik dan memberikan pengalaman kepada dunia dalam bidang tersebut.
Beliau berharap lebih ramai individu akan menyertai pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita, membantu golongan itu mengubah nasib mereka melalui pendidikan dan mewujudkan nilai hidup mereka.
Prof. Peng berkata, China amat mementingkan usaha untuk menjamin hak wanita dalam mendapatkan pendidikan sama rata, dan berharap untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk meningkatkan kerjasama dan pertukaran antarabangsa bagi mempromosikan perkembangan pendidikan berkualiti tinggi untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di seluruh dunia.
Azoulay dalam ucapannya pula menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan China atas sokongannya kepada UNESCO serta sumbangan cemerlang yang diberikan oleh Prof. Peng Liyuan untuk memajukan pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita di peringkat global.
Beliau menyatakan kesediaan UNESCO untuk terus meningkatkan kerjasama dengan China untuk memajukan pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita di seluruh dunia.
Untuk rekod, Anugerah Pendidikan Kanak-kanak Perempuan dan Wanita adalah satu-satunya anugerah yang diberikan oleh UNESCO dalam usaha memajukan pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita.
Program "Spring Buds" dari China dan program "Star School" dari Pakistan memenangi anugerah tersebut pada tahun ini.