- Lain-lain
Volum Kiriman Ekspres China 2023 Lepasi Angka 100 bilion
Meskipun musim kemuncak bagi penghantaran bungkusan masih belum tiba di China, namun sektor itu berjaya mencatat rekod baharu dari sudut kepantasan.
Biro Pos Negara pada 23 Oktober dalam satu kenyataan memberitahu bahawa China merekodkan pengendalian lebih 100 bilion bungkusan tahun ini, iaitu 39 hari lebih awal daripada tahun lalu, sekali gus mempamerkan daya tahan dan daya hidup sektor itu.
Pekerja mengisih bungkusan di sebuah pusat pengisihan di bandar Chenzhou, provinsi Hunan. (foto/China Daily)
Menurut platform pemantauan data masa nyata biro terbabit, bungkusan ke-100 bilion itu dihantar pada 7:39 pagi hari tersebut dari sebuah gudang di Qingdao, provinsi Shandong.
Bungkusan tersebut mengandungi jaket yang dihasilkan di Changshu, provinsi Jiangsu, yang disimpan di sebuah gudang di Qingdao. Difahamkan, pelanggan di Qingdao menerima bungkusannya kira-kira tengah hari pada hari sama.
Memetik kenyataan biro tersebut, daya hidup sektor penghantaran ekspres menunjukkan bahawa ekonomi China terus bertambah baik.
Sektor penghantaran bungkusan China telah berkembang pesat. Sejak Mac, sebanyak 10 bilion bungkusan dikendalikan setiap bulan. Sedekad lalu, jumlah tahunan kurang daripada 9.2 bilion.
Pada tahun lepas, sektor penghantaran bungkusan China merekodkan pengendalian sebanyak 110.58 bilion bungkusan.
Pekerja mengisih bungkusan di pusat pengisihan syarikat kurier di taman perindustrian e-dagang di daerah Hongze, Huai 'an, provinsi Jiangsu. (foto/China Daily)
"China mempunyai pasaran yang besar dengan bilangan pengguna yang ramai.
“Memandangkan pasaran penggunaan terus melantun semula, peningkatan ketara dalam permintaan membeli-belah dalam talian telah didorong oleh faktor makroekonomi yang positif dan membawa kepada pertumbuhan berterusan industri," kata Yang Fei, Ketua Bahagian Penghantaran Bungkusan, Jabatan Pemeriksaan Pasaran, Biro Pos Negara.
Beliau berkata, perkembangan industri di kawasan bandar dan luar bandar telah menjadi lebih seimbang, dengan jurang antara rantau semakin mengecil.
Jelas Yang, kemudahan juga telah bertambah baik, secara tidak langsung membantu memacu lagi pembangunan sektor.
Tambah beliau, sambil meningkatkan kecekapan keseluruhan pengangkutan dan pengisihan bungkusan di China, industri itu juga terus menambah baik susun atur hab serta gudang luar negara di negara dan wilayah yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
“Itu telah mengembangkan lagi rangkaian perkhidmatan dan menyatukan asas untuk pembangunan industri,” kata Yang.
Pemandangan pusat pengedaran automatik Cainiao di Karachi, Pakistan, pada Oktober 2022. (foto/Xinhua)
Musim paling sibuk bagi sektor penghantaran bungkusan China bakal menjelang tidak lama lagi dengan ketibaan festival beli-belah dalam talian pada bulan November dan Disember. Memandangkan momentum yang kukuh setakat ini, satu lagi rekod tahunan dijangka dapat dicatat tahun ini.
- Wartawan Asing Saksi Kehangatan Liga Bola Keranjang Desa di Guizhou
- Sanjiangyuan: Selangkah Saja dari Langit
- Jelajah Inspirasi China: BRI Dipuji Pegawai Tanzania kerana Galakkan Kerjasama, Ketersambungan global
- Lawatan Inspirasi ke Seluruh China: Guru dari Malta Puji BRI
- Melangkaui Batasan: Perjalanan Gadis 16 Tahun