- Lain-lain
Duta Besar Malaysia: Dasar Visa Baharu Janjikan Pelbagai Manfaat
TYT Dato’ Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke China. (People's Daily Online/Wang Jing)
Pada 24 November, China mengumumkan dasar bebas visa unilateral untuk warganegara Malaysia bagi tempoh maksimum 15 hari. Pada 26 November, Malaysia pula mengumumkan dasar bebas visa untuk warganegara China bagi tempoh maksimum 30 hari. Kedua-dua dasar berkuat kuasa bermula hari ini (1 Desember).
“Hubungan dua hala China-Malaysia tinggi tahapnya. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 hubungan China-Malaysia dinaiktarafkan kepada perkongsian strategik komprehensif, yang bermakna hubungan kedua-dua pihak bukan sahaja merangkumi bidang politik dan ekonomi, tetapi juga komunikasi sesama rakyat serta budaya, pendidikan dan sebagainya”, kata TYT Dato’ Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke China.
Dasar baharu yang ditawarkan oleh Malaysia kepada China ini adalah untuk kemasukan tunggal. Malaysia merancang untuk menawarkan visa kemasukan berganda kepada pemegang empat kategori pasport China mulai tahun 2025. Ini akan diperkemas dan ditambah baik dari semasa ke semasa, TYT menjelaskan.
Dasar bebas visa antara dua negara akan memberi manfaat dari segi pembelajaran di luar negara, pelancongan dan pelaburan.
“Sekarang ada kira-kira 6,000 pelajar Malaysia yang belajar di China. Dasar bebas visa akan menjadikan belajar di China lebih menarik kerana ibu bapa lebih senang untuk menziarahi anak-anak mereka,” kata TYT. “Kini rakyat Malaysia telah melihat kepentingan China, kepesatan pembangunan di China dan kepentingan bahasa Mandarin. Minat belajar di China bukan sahaja datang dari kaum Cina tetapi juga kaum lain.”
Sebelum tahun 2019, sebanyak 1.5 juta hingga 2 juta pelancong China melawat ke Malaysia secara puratanya setiap tahun. Dengan pelaksanaan dasar visa baharu, Malaysia menyasarkan 5 juta pelancong dari China setahun.
“Angka ini berdasarkan jumlah pelancong China ke rantau Asia Tenggara. Kami mempunyai kapasiti besar untuk menerima pelancong dan kami juga mempunyai pemandangan dan produk yang pelancong China gemari. Bermula tahun depan, lebih banyak penerbangan akan dibuka antara China dan Malaysia. Saya fikir sasaran 5 juta tidak jauh. Mungkin kami tidak dapat capai dalam satu atau dua tahun, tetapi akhirnya akan dicapai,” kata TYT.
Selain ini, Malaysia juga ingin menarik lebih banyak pelaburan dari China. “Dasar visa baharu ini membantu pelabur China datang ke Malaysia untuk mencari peluang yang dapat mereka peroleh di Malaysia dengan lebih senang. Apa yang kami ingin tunjukkan ialah apabila mereka datang, mereka boleh melihat Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai,” jelas TYT.
Menurut TYT, komunikasi sesama rakyat merupakan sokongan kepada hubungan bilateral. Tahun depan merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia. Menurut TYT, lebih banyak aktiviti seperti ekspo buku dan konsert akan diadakan untuk meningkatkan lagi komunikasi rakyat antara kedua-dua pihak.
- Malaysia Destinasi Hangat Susulan Pengecualian Visa kepada Warga China
- Menteri Luar China, Malaysia Bertemu di New York
- Dasar Pengecualian Visa Mudahkan Pergerakan Rakyat China, Malaysia
- Malaysia Umum Pengecualian Visa 30 Hari buat Pelancong China
- Kementerian Luar: China akan Lancar Dasar Bebas Visa untuk 6 Negara Termasuk Malaysia
- China, Malaysia Ikrar Memacu Pembinaan Bersama BRI
- China dan Malaysia Mahu Perluaskan Perdagangan Pertanian
- Anthony Loke: Potensi Kerjasama China-Malaysia Cukup Besar
- Malaysia Manfaat Banyak daripada Pembangunan China - TPM
- Pertukaran Parlimen Dorong Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia