- Lain-lain
China, Perancis Sasar Kerjasama Lebih Mantap
China sentiasa melihat Perancis sebagai rakan kongsi utama dan bersedia bersama negara itu memperkukuh kerjasama tradisional sambil meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga hijau, inovasi sains dan teknologi, pembuatan canggih, kecerdasan buatan (AI) serta ekonomi digital ke arah mewujudkan situasi sama menang.
Demikian dinyatakan Perdana Menteri China Li Qiang ketika bertemu Menteri Luar Perancis Stephane Sejourne di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Isnin.
Dalam pertemuan itu, Li menyuarakan harapan agar Perancis dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang terbuka, adil dan tanpa diskriminasi untuk syarikat China, di samping mendorong Kesatuan Eropah (EU) mengikut hukum ekonomi dan peraturan pasaran serta menyelesaikan keprihatinan satu sama lain melalui rundingan.
"Ketiadaan kerjasama dan kegagalan mewujudkan pembangunan adalah risiko yang paling besar.
"China dan Perancis merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan juga dua kuasa besar yang bertanggungjawab.
"China bersedia meningkatkan kerjasama multilateral dengan Perancis untuk menyumbang kepada penyelesaian isu panas antarabangsa dan penambahbaikan tadbir urus global," kata beliau.
Li menambah bahawa China ingin bersama Perancis melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin dua negara, memperkukuh pertukaran di semua peringkat, menyemarakkan persahabatan tradisional dan memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan.
China juga sudi bersinergi dengan Perancis untuk memajukan hubungan bilateral dan memperkasa koordinasi multilateral sekali gus menyuntik lebih banyak unsur menentu kepada pembangunan dunia.
Sejourne pula berkata pihaknya bersedia mengambil peluang daripada sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik untuk memperluas pertukaran dan kerjasama membabitkan ekonomi dan perdagangan, perlindungan alam sekitar, teknologi AI serta sosiobudaya, di samping berganding bahu menangani pelbagai cabaran global dan memantapkan lagi perkongsian strategik komprehensif Perancis-China.
- Wang Yi Bertemu Presiden Perancis
- Masa Depan Hubungan China-Perancis Lebih Cemerlang
- Ucapan Video Presiden Xi pada Resepsi Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Ikatan Diplomatik China-Perancis
- Xi, Macron Saling Ucapkan Tahniah Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hubungan Diplomatik China-Perancis
- Xi Sampai Ucapan Sempena Resepsi Rai 60 Tahun Hubungan China-Perancis
- Wang Yi Ucapkan Tahniah kepada Menteri Luar Perancis Baharu
- PM China Ucap Tahniah kepada PM Baharu Perancis
- Menteri Luar Perancis akan Lawat China
- Xi Seru Lonjakkan Hubungan China, Perancis ke Tahap Baharu
- Dialog Strategik China-Perancis Bakal Buka Tirai