- Lain-lain
10 Filem Baharu Menanti Penonton Pada Cuti Hari Kebangsaan
Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa 10 filem baharu dijadual akan ditayangkan pada percutian minggu emas Hari Kebangsaan China selama tujuh hari mulai 1 Oktober.
Menurut Maoyan, satu platform data filem tempatan, antara judul yang sangat dinanti-nantikan adalah “High Forces”, filem aksi jenayah yang menampilkan Andy Lau; “Bureau 749”, filem sains fiksyen pengembaraan arahan Lu Chuan; "The Volunteers: To the War 2" filem genre perang oleh Chen Kaige; dan “Tiger Wolf Rabbit”, drama jenayah yang dibintangi Xiao Yang.
Untuk rekod, percutian minggu emas Hari Kebangsaan di China sangat sinonim dengan tempoh paling menguntungkan bagi aktiviti tontonan pawagam.
Lai Li, penganalisis pasaran di Maoyan, berkata bahawa filem-filem yang disajikan pada tahun ini meliputi genre yang pelbagai termasuk aksi, jenayah, bencana, perang, fiksyen sains, komedi, animasi, muzikal dan drama.
Lapor Xinhua, jumlah filem genre komedi telah memperlihatkan peningkatan, sementara filem animasi pula berkurangan.
Lai berkata, ketiadaan filem blokbuster berskala besar turut menjadi ujian kepada kemampuan kesemua filem baharu tersebut untuk mencapai jangkaan yang diharapkan oleh penonton.
Memetik data Pentadbiran FIlem China, hasil pecah panggung yang didapati dari tempoh 16 hingga 22 September berjaya mencecah RMB502 juta (sekitar RM295 juta).
Semasa percutian Pesta Kuih Bulan selama tiga hari mulai 15 September, sejumlah 21 filem telah ditayangkan di pawagam China, dengan hanya satu filem berjaya melepasi hasil RMB100 juta iaitu “Stand By Me”, filem yang berkisarkan kisah sebenar kanak-kanak kurang bernasib baik secara sosial.
Jumlah hasil pecah panggung pada 2024 ketika ini telah mencapai RMB34.48 bilion, iaitu berkurangan sebanyak 22 peratus berbanding tahun terdahulu. Pada masa ini, China merupakan pasaran filem kedua terbesar di dunia di bawah Amerika Utara yang mempunyai AS$6 bilion hasil pecah panggung.
Namun, prestasi pecah panggung tahunan Amerika Utara turut memperlihatkan penurunan sebanyak 12 peratus ketika ini berbanding dengan tahun 2023.
Difahamkan, filem “The Battle at Lake Changjin" menduduki tempat teratas carta pecah panggung China pada 2021, mencatatkan kutipan RMB5.775 bilion, sekali gus memecahkan rekod sedia ada.
Filem yang dikeluarkan semasa percutian minggu emas Hari Kebangsaan pada 2017, 2019 dan 2020, seperti "Never Say Die," "My People, My Country," dan "My People, My Homeland," semuanya telah memperoleh lebih RMB2 bilion dalam hasil pecah panggung.
- Pesta Kuih Bulan: Kutipan Tiket Filem Cecah RMB200 Juta
- Hasil Kutipan Filem Sempena Cuti Musim Panas Cecah RMB9.5 Bilion
- Jualan Pecah Panggung China 2024 Cecah Angka RMB5 Bilion
- Pesatnya Kembang Industri Penstriman China
- iQIYI Jalin Kerjasama dengan GSC Movies, Tayang Lebih Banyak Filem China di Malaysia