- Lain-lain
Ekonomi Digital Buka Pintu Rezeki Baharu
Seorang pelawat mendengar penjelasan tentang pesawat udara tanpa pemandu di Zon Mobiliti Pintar pada Ekspo Perdagangan Digital China di Hangzhou, provinsi Zhejiang, 25 September 2024. (Xinhua/Huang Zongzhi)
Sekitar dua dekad lalu, Wang Wei yang ketika itu seorang graduan baru, mula bekerja di sebuah syarikat perkilangan di bandar Zhuhai, provinsi Guangdong. Mengimpal papan litar menjadi pengkhususannya.
Wang berpindah ke Beijing pada 2010 selepas berumah tangga supaya lebih dekat dengan kampung halamannya di provinsi Hebei. Di situ, dia bekerja sebagai pengimpal di sebuah syarikat dron.
Pada 2019, tatkala semakin banyak syarikat Internet, pengeluar kereta dan syarikat permulaan menanam modal dalam penyelidikan dan pembangunan serta ujian melibatkan kenderaan autonomi, Wang beralih pula ke pusat operasi Pony.ai. Syarikat tersebut pembekal khidmat pemanduan autonomi yang memasang, memantau, mengendalikan dan menyelenggara peranti-peranti pada kenderaan yang dilengkapi fungsi pintar.
Industri digital China telah menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun-tahun mutakhir sejajar dengan strategi pembangunan berteraskan teknologi. Berikutan kemajuan ini, terciptanya banyak profesion baharu yang bukan sahaja membantu mengembangkan sektor pekerjaan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan berkualiti sektor-sektor baru muncul seperti kecerdasan buatan (AI).
Pada akhir Julai, 19 profesion baharu termasuk jawatan yang dipegang Wang iaitu penyelenggara kenderaan pintar, dimasukkan dalam senarai pekerjaan yang diiktiraf secara rasmi di China. Dimaklumkan, lebih separuh daripadanya membabitkan teknologi digital dan pintar.
China baru-baru ini mengumumkan garis panduan untuk merangsang pekerjaan berserta inisiatif untuk menambah peluang kerja yang berkaitan dengan ekonomi digital.
Menurut data, nilai tambah industri teras ekonomi digital menyumbang kepada 10 peratus KDNK China pada 2023.
Dengan penggunaan meluas teknologi AI, Zhong Jinyu yang dulunya pekerja khidmat pelanggan, menukar haluan kerjaya kepada operator sistem AI generatif di syarikatnya, NeuroBot. Tugasnya sekarang ialah memasukkan data ke dalam sebuah model, yang kemudiannya dilatih berulang kali sebelum diserahkan kepada pelanggan dalam bentuk kandungan AI generatif.
“Profesion baharu ini memerlukan daya yang lebih tinggi untuk belajar teknologi baharu dengan cepat supaya kekal kompetitif dalam masyarakat pintar pada masa depan,” kata Zhong.
Satu tinjauan oleh platform pengambilan kerja Lagou menunjukkan, sektor AI antara tiga pencipta peluang kerja dan penerima graduan universiti domestik terbesar tahun ini.
Li Qiang, naib presiden eksekutif platform carian kerja Zhaopin pula berkata, kemunculan pelbagai profesion baharu ini mencerminkan hala tuju perkembangan teknologi dan industri baharu. Maka, para pengamal perlulah terus-menerus belajar dan membuat inovasi.
Bagi Wang Wei, penaiktarafan berterusan industri digital China telah membuka ruang pertumbuhan yang lebih luas untuk kerjayanya. Katanya, sasaran seterusnya ialah menjadi penguji kenderaan pintar, satu jawatan yang memerlukan kemahiran perisian yang lebih tinggi.
“Masalah baharu mungkin timbul pada bila-bila masa. Banyak yang boleh saya pelajari sewaktu bekerja,” kata Wang.
- China di Tangga ke-11 Indeks Inovasi Global
- Huawei Lancar Telefon Boleh Lipat Tiga Pertama di dunia
- Xi Mahu Usaha Sedaya Upaya untuk Perkasakan Pembaharuan
- China Punya Jumlah Kluster Inovasi Sains dan Teknologi Terbanyak - Laporan WIPO
- Pusat Inovasi Pertama Untuk Sistem Kuasa Baharu Mula Beroperasi di Hunan
- Keupayaan Inovasi Syarikat China Kemuncak Pelaburan: Temasek
- Daripada AI ke Tenaga Baharu, Kepesatan Pembangunan Industri China Satu Rahmat Buat Dunia
- Xi Beri Penekanan Pentingnya Pemodenan Teknologi, Inovasi
- Galak Guna Produk Buluh, Tangani Pencemaran Plastik: Wakil NPC
- Kuasa Produktif Kualiti Baharu, Kunci Transformasi Syarikat