- Lain-lain
China Komited Tingkatkan Pertukaran dengan Parlimen ASEAN
China bersedia meningkatkan pertukaran mesra dengan parlimen Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada pelbagai peringkat dan melalui pelbagai saluran.
Demikian ujar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China, Li Zhanshu pada Khamis semasa menyampaikan ucapan menerusi pautan video pada majlis penutupan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-43 yang diadakan di Phnom Penh, ibu negara Kemboja.
Dalam ucapan yang dibuat atas jemputan Presiden Perhimpunan Kebangsaan Kemboja, Samdech Heng Samrin, merangkap pengerusi Perhimpunan Agung AIPA ke-43, Li menyatakan, dengan bimbingan strategik dan penerajuan pemimpin China dan negara-negara ASEAN, perkembangan hubungan China-ASEAN telah memasuki lorong pantas.
"Perkongsian strategik komprehensif China-ASEAN bermula dengan baik pada masa ini dengan menyaksikan kedua-dua pihak melakar pencapaian menggalakkan dalam membina bersama kampung halaman yang damai, tenteram, makmur, indah dan bersahabat,"kata beliau.
Li berkata, China komited terus berusaha memelihara keamanan dunia, menggalakkan pembangunan bersama, berpegang pada prinsip bersahabat, keikhlasan, keuntungan bersama, inklusif dan saling percaya dalam diplomasi kejiranan.
"China percaya kerjasama China-ASEAN akan menyumbang kepada keamanan dan pembangunan rantau Asia-Pasifik,"ujarnya.
Li menambah, China dan ASEAN berkongsi banyak fahaman dan konsep yang sama mengenai pembangunan.
"Misalnya, China mengamalkan konsep pembangunan dilaksanakan dengan berpaksikan kepentingan rakyat.
"ASEAN pula menyifatkan konsep ‘mengutamakan kepentingan rakyat’ sebagai prinsip teras dalam Piagam ASEAN , sementara Wawasan Komuniti ASEAN 2025 pula menegaskan akan lebih memfokuskan terhadap rakyat ASEAN dan kesejahteraan mereka," kata beliau.
Li juga menyifatkan pertukaran dan kerjasama antara jabatan perundangan sebagai komponen penting dalam hubungan China-ASEAN.
"NPC China akan terus mengadakan pertukaran ramah dengan AIPA dan parlimen negara-negara ASEAN, memperhebat pembinaan keupayaan, mengukuhkan perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua pihak bagi menyumbang kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih erat," jelas beliau.
- China, Brunei Mahu Lonjakkan Perkongsian Strategik
- Xi Jinping Selamat Kembali ke China
- CMG dan PRD Capai Kata Sepakat Penandatanganan Memorandum Kerjasama
- Sidang Kemuncak CEO APEC 2022 Dirasmikan
- Thailand Sedia Sambut Kedatangan Presiden Xi
- China Peneraju Pemulihan Global: Duta Indonesia
- PM China Yakin Kerjasama Persahabatan dengan ASEAN Makin Pelbagai
- Pertemuan PM China-Laos di Phnom Penh
- Pertemuan PM China dengan Pemimpin Jepun, Korea Selatan dan Filipina
- China Bersedia Intensifkan Kerjasama 10+3