- Lain-lain
Agensi Keselamatan Dedah Kes Intip CIA
(foto/IC)
Agensi keselamatan negara China baru-baru ini mendedahkan kes disyaki pengintipan melibatkan Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS).
Menurut agensi tersebut, CIA cuba memujuk seorang kader yang sedang belajar di luar negara supaya bekerja di salah satu kementerian negara itu dan menjadi pengintip.
Dalam satu pengumuman pada Isnin, Kementerian Keselamatan Negara China turut memberi amaran kepada rakyat China supaya berwaspada dan menggesa mereka untuk menolak tawaran insentif mencurigakan daripada sebarang individu.
Mengikut laporan, suspek tersebut iaitu Hao, 39, merupakan seorang pegawai di jabatan kerajaan yang tidak dinamakan.
"Ketika belajar di Jepun, lelaki tersebut bertemu dengan seorang pegawai di kedutaan AS bernama Ted semasa memohon visa AS."
"Lama kelamaan, hubungan Ted dan Hao menjadi semakin rapat, sering makan bersama dan bertukar-tukar hadiah," kata Kementerian itu.
Difahamkan, tidak lama selepas itu, Ted meminta Hao membantunya menerbitkan artikel, serta berjanji akan membayar upah, dan Hao akhirnya bersetuju.
Sebelum tamat tempoh perkhidmatannya di kedutaan, Ted memperkenalkan Hao kepada Li Jun, iaitu salah seorang rakan sekerjanya.
Menurut kementerian itu, ketika Hao menghampiri penghujung pengajiannya di Jepun, Li memperkenal dirinya sebagai petugas pejabat CIA di Tokyo.
Dia memujuk Hao untuk terlibat dalam tindakan pengintipan terhadap kerajaan China, serta memintanya bekerja di jabatan teras dan sensitif selepas kembalinya ke China.
Hao bersetuju dengan permintaan Li dan menandatangani perjanjian dengan AS untuk menjadi pengintip.
"Selepas itu, Hao menerima penilaian dan latihan yang disediakan oleh AS," kata Kementerian itu.
Selepas kembali ke China, Hao berjaya mendapat jawatan di sebuah kementerian.
Jelas Kementerian itu, dia secara rahsia menghubungi kakitangan CIA beberapa kali semasa berada di China untuk menyalurkan mereka maklumat dan menerima wang sebagai balasan.
Akhirnya, agensi keselamatan negara berjaya menghidu aktiviti pengintipan Hao, seterusnya memulakan siasatan yang sedang berjalan.