- Lain-lain
Xi Jinping Temui Presiden Iran
Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Ebrahim Raisi di Johannesburg pada Khamis.
Xi menzahirkan ucapan tahniah kepada Iran yang diterima sebagai anggota BRICS.
Beliau menegaskan bahawa dengan usaha bersama pelbagai pihak, sidang kemuncak kali ini memutuskan untuk menerima anggota baharu, dan inilah peristiwa bersejarah. Kesemua anggota baharu adalah negara yang berpengaruh dan ia akan memberikan kesan besar kepada dunia.
Beliau menyatakan bahawa China bersedia meningkatkan kerjasama dengan Iran dalam platform pelbagai hala seperti BRICS agar mendorong multilateralisme berkembang secara sihat dan mampan.
Sementara itu, Xi mengulangi kesediaan pihak China untuk memperkukuh persahabatan dan kesalingpercayaan dengan Iran, saling menyokong dalam isu-isu yang berkaitan kepentingan teras masing-masing, supaya mendorong hubungan perkongsian strategik komprehensif China-Iran membuahkan hasil yang lebih gemilang.
Ebrahim Raisi pula menyatakan bahawa pihaknya menyanjung tinggi dan menzahirkan penghargaan kepada China yang menyokong Iran diterima sebagai anggota rasmi BRICS. Ini akan menyumbangkan penggerak baharu kepada perkembangan hubungan kedua-dua negara, bermanfaat bagi kedua-dua negara meningkatkan kerjasama dalam platform multilateral, dan kondusif bagi pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang dikemukakan oleh Presiden Xi.
Selain itu, Ebrahim Raisi mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Xi yang memainkan peranan signifikan dalam mendorong dialog dan perdamaian antara Iran dengan Arab Saudi.
Beliau turut menegaskan keazaman kukuh pihak Iran untuk memperkasakan hubungan perkongsian strategik komprehensif dengan China, dan giat mempromosi pembinaan bersama Jalur dan Laluan.