- Lain-lain
Xi Temui Presiden Kazakhstan
Presiden China Xi Jinping hari ini mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev yang berada di Beijing untuk menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) edisi ketiga.
Xi berkata hubungan China-Kazakhstan yang sihat, stabil dan dinamik berfaedah kepada pembangunan kedua-dua negara serta kedamaian dan kestabilan serantau.
Menyentuh saranan membina bersama Jalur Ekonomi Jalan Sutera yang dikemukakannya semasa lawatan di Kazakhstan sedekad lalu, Xi mengesyorkan kedua-dua pihak memperkasa kolaborasi bagi mendorong usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) membuahkan lebih banyak hasil demi manfaat rakyat.
Beliau menzahirkan hasrat China untuk terus mempermudah aktiviti perdagangan dan pelaburan dengan Kazakhstan, di samping melaksanakan dengan baik projek kerjasama penting dalam bidang kapasiti pengeluaran.
Menurut beliau, China bersedia memperluas pengimportan hasil pertanian berkualiti dari Kazakhstan, meneroka kerjasama tenaga hijau, mengukuhkan kesalinghubungan dan meningkatkan kapasiti dan keefisienan perkhidmatan rel kargo China-Eropah.
Beliau juga menyarankan kedua-dua pihak merancakkan pertukaran teknologi digital melibatkan e-dagang rentas sempadan, kecerdasan buatan (AI), data raya dan blok rantai, sambil menggalakkan interaksi sosiobudaya dan kerjasama di peringkat setempat.
Tokayev pula berkata lawatan Presiden Xi ke Kazakhstan pada September tahun lepas menyuntik momentum kuat kepada perkongsian strategik komprehensif berkekalan antara kedua-dua negara.
Kerjasama bilateral turut melakar kemajuan menggalakkan susulan pelaksanaan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara.
Kazakhstan komited bersinergi dengan China untuk terus memberi sokongan kukuh kepada satu sama lain, di samping memperdalam kerjasama pragmatik dan merapatkan pertukaran sosiobudaya.
- Xi Hadiri Majlis Perasmian BRF Ketiga Esok
- Menteri Luar China, Rusia Bertemu di Beijing
- Pusat Media BRF Ketiga Beroperasi
- Suasana Forum Antarabangsa BRI Makin Terasa di Beijing
- Tokoh Asing Hargai Peluang Kerjasama BRI
- Xi Jinping akan Hadir BRF ke-3
- Lebih 110 Negara Sah Sertai BRF ketiga
- BRF Ketiga Diadakan di Beijing pada Oktober
- Xi Berunding dengan Presiden Kazakhstan
- China, Kazakhstan Komited Tingkatkan Kerjasama