- Lain-lain
RCEP Rangsang Kerjasama Perdagangan China, Indonesia
Orang ramai mengunjungi pavilion RCEP pada Ekspo China-ASEAN ke-19 di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, selatan China, 18 September 2022. (Xinhua/Lu Boan)
Sebelum tibanya cuti tahun baharu, satu kumpulan papan kertas bersalut bernilai lebih kurang 430,000 yuan (sekitar 60,098 dolar Amerika) dikemas untuk penghantaran di kilang Guangxi Sun Paper Board Co., Ltd. yang terletak di Beihai, sebuah bandar tepi pantai di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, selatan China. Produk berkenaan dijangka tiba di Indonesia selepas kira-kira 15 hari.
“Dengan adanya sijil tempat asal produk yang dilaksanakan di bawah Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), barangan kami akan menikmati potongan cukai hampir 20,000 yuan ketika melalui pelepasan kastam di Indonesia,” maklum Liu Ning, pengarah hal ehwal cukai eksport syarikat tersebut.
Pada 2023, Guangxi Sun Paper Board memohon hampir 200 sijil seumpama di bawah RCEP, yang banyak membantu syarikat itu meneroka kelebihan-kelebihan baharu dalam perdagangan asing dan meluaskan pasaran di Indonesia, jelas Liu.
RCEP yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2022, membabitkan 15 negara Asia Pasifik. Anggotanya ialah 10 negara ASEAN dan lima rakan dagang serantau, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. Penguatkuasaannya di Indonesia bermula 2 Januari 2023 membolehkan gergasi ekonomi Asia Tenggara itu memperkenalkan peraturan-peraturan perdagangan baharu.
Berdasarkan komitmen yang tertera dalam perjanjian RCEP, Indonesia akan melaksanakan tarif sifar terhadap 65.1 peratus produk yang berasal dari China. China juga akan mengambil langkah serupa terhadap 67.9 peratus barangan keluaran Indonesia bermula tarikh berkuat kuasanya RCEP. Menurut Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) pula, Indonesia akan mengecualikan tarif ke atas lagi 700 barangan China termasuk alat ganti kereta, motosikal, televisyen, pakaian, kasut dan produk plastik.
China juga akan mengurangkan cukai bagi lebih banyak produk Indonesia, misalnya jus nanas, makanan tin, produk kertas dan alat ganti kereta, langkah yang membuka lagi pasarannya kepada Indonesia.
Dalam sedekad lalu, kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Indonesia semakin rapat. Jumlah dagangan dua hala melonjak daripada 50 bilion dolar pada 2013 kepada 150 bilion dolar pada 2022. China mengekalkan status sebagai rakan dagang terbesar Indonesia untuk 10 tahun berturut-turut.
RCEP telah menjadi suatu daya penggerak penting yang menjana pertumbuhan sektor perdagangan asing sesama negara peserta. Dengan ketara, sinergi ini telah menyuntik kedinamikan baharu terhadap kerjasama ekonomi dan perdagangan China dan Indonesia.
Data Kedutaan Besar China di Indonesia menunjukkan bahawa dalam 10 bulan pertama 2023, perdagangan dua hala antara China dan Indonesia mencecah 114.5 bilion dolar. Dalam tiga suku pertama, China menanam pelaburan berjumlah 5.6 bilion dolar di Indonesia, naik hampir 8 peratus tahun ke tahun.
- Kuisin Pedas China Makin Popular di Asia Tenggara
- Tokoh Luar Nilai Tinggi Hasil Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan RCEP
- RCEP Bawa Peluang Baru kepada Jenama Kosmetik China
- Penguatkuasaan Menyeluruh RCEP Jana Kedinamikan Ekonomi Serantau
- Sibuknya Pelabuhan Qinzhou, Nadi Pengangkutan Darat-Laut
- Anggota RCEP Cari Peluang Pelaburan di Hainan
- RCEP akan Pacu Pembangunan dan Kemakmuran Sejagat
- Modenisasi, Matlamat Bersama Filipina-China
- RCEP Bantu Ningxia Perluas Lingkungan Rakan Kongsi
- RCEP Buka Peluang Baharu kepada Ekonomi Filipina