- Lain-lain
Kerjasama Pendidikan Kunci Kemakmuran Bersama
Forum Pendidikan Tinggi ASEAN(Malaysia)-China diadakan pada 23 Mac. (Xinhua/Cheng Yiheng)
Kerjasama antarabangsa yang lebih mantap dalam bidang pendidikan mustahak bagi membentuk masa depan yang lebih cerah buat rakyat seluruh dunia, kata pegawai dari Malaysia pada Sabtu lalu.
Dalam ucapannya semasa Forum Pendidikan Tinggi ASEAN(Malaysia)-China, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud menekankan bahawa pendidikan bukan sahaja isu penting bagi sesebuah negara, tetapi juga tanggungjawab dikongsi sejagat.
“Malaysia memandang China sebagai salah satu rakan kongsi paling penting dalam bidang pendidikan tinggi. Kami menyanjung usaha China memperkasakan pertukaran antara rakyat dan kerjasama pendidikan tinggi menerusi interaksi bilateral serta platform multilateral seperti ASEAN,” tambahnya.
Beliau memaklumkan terdapat lebih 40,000 pelajar China di Malaysia pada masa ini, dan mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan penuntut siszawah dan penyelidik China menjalankan penyelidikan dan mengikuti pendidikan tertiari di Malaysia.
“Sambil kita menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini, kita juga komited untuk memperkukuh kerjasama dalam pendidikan tinggi antara Malaysia dengan China,” katanya lagi.
Setiausaha Agung Pusat China-ASEAN (ACC) Shi Zhongjun menyifatkan pendidikan sebagai sesuatu yang amat perlu, demi kemajuan sains dan teknologi serta sosioekonomi. Beliau menganggap pertukaran dan kerjasama pendidikan sebagai komponen penting hubungan bilateral China-Malaysia.
Memetik Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, 2024 ialah Tahun Interaksi Rakyat China-ASEAN dan juga ulang tahun ke-50 terjalinnya ikatan diplomatik China dan Malaysia.
“Forum ini bukan sekadar platform penting untuk kita memperdalam kerjasama pendidikan tinggi, malah suatu peluang berharga untuk kita merintis inovasi dan menggalakkan pemupukan bakat,” ujar beliau.
Dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan ACC, forum tersebut berlangsung serentak dengan Ekspo Pendidikan dan Kerjaya Study In China HSK 2024. Ia memberikan peluang kepada bakal pelajar untuk mengetahui prospek pendidikan di China.
Penduduk tempatan menyertai Ekspo Pendidikan dan Kerjaya Study In China HSK 2024 yang berlangsung serentak dengan Forum Pendidikan Tinggi ASEAN(Malaysia)-China. (Xinhua/Cheng Yiheng))
- China Eastern Rasmikan Penerbangan Kunming-KL
- PKS Malaysia Nanti Peluang pada CISMEF 2024
- Huawei, Edotco Perkenal Menara Kaca Gentian Pertama Bangladesh
- Mahasiswa dari Malaysia: Belajar di China, Peluang Berharga
- Promosi Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan Diadakan di KL
- Sesi Libat Urusniaga antara Syarikat China dan Malaysia Diadakan
- UnionPay, PayNet Kerjasama, Sambungkan Sistem Bayar QR China-Malaysia
- Kembara Duta: Sokongan Perkembangan Bahasa Melayu di China Terus Dipergiat
- Dedikasi Belia China, Malaysia Terserlah dalam Projek Mega BRI, ECRL
- China, Malaysia Ganding Bahu Promosi Taman Perindustrian Kuantan