- Lain-lain
China Komited Perkukuh Hubungan Muhibah dengan Negara Jiran
Lawatan pemimpin dan menteri luar dari beberapa negara Asia Tenggara ke China pada beberapa hari kebelakangan ini memperlihatkan negara-negara terbabit menumpukan kepada memperkukuhkan hubungan dengan China.
Demikian kata Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning dalam sidang akhbar pada Isnin sebagai respons terhadap Beijing menyaksikan lawatan ramai pemimpin peringkat tinggi dari negara Asia Tenggara.
“China tidak berganjak dari mempergiatkan kerjasama dengan negara-negara jiran, meningkatkan persefahaman dan memupuk rasa saling percaya bagi mewujudkan pembangunan dan kemakmuran bersama dengan berpandukan konsep diplomasi kejiranan yang dikemukakan oleh Presiden Xi, yang menekankan 'mesra, ikhlas, situasi sama menang dan inklusif',” kata Mao.
Menurut Mao, China dan ASEAN merupakan rakan dagang terbesar antara satu sama lain untuk empat tahun secara berturut-turut.
“Pada Januari dan Februari tahun ini, jumlah perdagangan antara China dan ASEAN meningkat 8.1 peratus kepada RMB993.2 bilion (RM652.3 bilion). Negara-negara Asia Tenggara sudah menjadi rakan penting dalam pembinaan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan.
“Sebilangan besar projek kerjasama, termasuk Kereta Api China-Laos, Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jakarta-Bandung dan ‘Dua Negara, Dua Taman’ antara China dan Malaysia, berperanan kondusif dalam menjana pertumbuhan ekonomi tempatan demi manfaat rakyat.
“Pengecualian visa antara satu sama lain direalisasikan antara China dengan tiga negara Asia Tenggara, iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand. Pelbagai aktiviti akan diadakan semasa Tahun Pertukaran Sosiobudaya China-ASEAN untuk meningkatkan persefahaman dan membina ikatan yang lebih erat antara rakyat kedua-dua pihak.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 Lima Prinsip Wujud Bersama Secara Damai. Kami (China) bersedia bekerjasama dengan negara-negara jiran untuk menyemarakkan semangat lima prinsip tersebut, berpegang pada konsep 'mesra, ikhlas, situasi sama menang dan inklusif', menebus persamaan dalam memelihara kepentingan masing-masing, dan bersama-sama membina Asia menjadi kampung halaman yang aman, selamat, makmur, indah, muhibah dan harmoni untuk kita semua,” kata Mao.
Untuk rekod, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memilih China sebagai negara pertama dalam jadual lawatan beliau ke luar negara setelah dipilih sebagai presiden baharu. Menteri Luar China Wang Yi mengadakan rundingan secara berasingan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Laos, Saleumxay Kommasith, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas dan Menteri Luar Vietnam, Bui Thanh Son di Guangxi China pada minggu lepas. Pada minggu ini pula, Puteri Thailand, Maha Chakri Sirindhorn, Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam, Vuong Dinh Hue dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Heng Swee Keat juga mengadakan lawatan ke China.