- Lain-lain
Data NBS: Dagangan China, Negara BRI Tumbuh 5.5%
Import dan eksport China dengan negara-negara peserta Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) tumbuh sebanyak 5.5 peratus pada suku pertama tahun ini. Data Biro Statistik Negara (NBS) pada 16 April juga menyebut bahawa jumlah berkenaan mewakili 47.4 peratus daripada nilai keseluruhan import dan eksport China.
“Ekonomi negara telah melalui satu permulaan yang baik pada suku pertama,” kata Sheng Laiyun, timbalan pengarah NBS.
Menurut biro itu, keluaran dalam negara kasar (KDNK) China menyaksikan kenaikan 5.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024, mencecah paras 29.63 trilion yuan (anggaran 19.57 trilion ringgit).
Khususnya, pada suku pertama, pengeluaran sektor pertanian menampakkan momentum yang memberangsangkan, dengan nilai tambah hasil tani meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun. Pengeluaran sektor perindustrian yang juga berkembang pesat, merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus dari segi nilai tambah syarikat perindustrian di seluruh negara yang melebihi skala ditetapkan.
Jualan pasaran mengekalkan pertumbuhan stabil dengan jumlah jualan runcit produk pengguna mencatat lebih 12 trilion yuan, iaitu naik 4.7 peratus tahun ke tahun. Jumlah nilai import dan eksport barangan pula mencecah hampir 10.17 trilion yuan, satu kenaikan sebanyak 5 peratus, dengan struktur perdagangan yang terus-menerus dioptimumkan. Harga pengguna kekal stabil pada umumnya, yang dapat dilihat daripada indeks harga pengguna (IHP) yang tidak berubah berbanding tempoh sama tahun sebelum. Pekerjaan juga kekal mantap pada keseluruhannya, dan pendapatan penduduk turut meningkat dengan stabil.
Sheng turut menyebut tentang faktor-faktor positif dalam tempoh tersebut misalnya permintaan pengeluaran yang meningkat, pekerjaan dan harga yang stabil, serta keyakinan pasaran yang makin kukuh.
“Faktor-faktor positif yang mendorong pemulihan ekonomi sedang terhimpun dan bertambah kuat, sekali gus meletakkan asas yang baik untuk pertumbuhan sepanjang tahun,” ujar Sheng.
Katanya lagi, China pada fasa seterusnya akan giat memupuk dan melahirkan daya produktif baharu yang berkualiti, di samping memperkasakan pelaksanaan dasar-dasar makro kerajaan, sambil mengejar pertumbuhan ekonomi yang berkualiti tinggi dan meningkatkan output ekonomi dengan sewajarnya.
- Sumbangan China terhadap Pembangunan dan Kemakmuran Dunia Mengagumkan: PM Antigua dan Barbuda
- Operasi Laluan Kereta Api China-Laos Genap Setahun
- Duta Besar Malaysia Seru Industri China Manfaatkan MCS 2024
- Syarikat China Bina RTS Sambungkan Malaysia dengan Singapura
- Perkapalan Belayar melalui "Pengangkutan Laut Laluan Sutera" Catat 14,101 Perjalanan
- Guangxi Mahu Jadi Hab Dagang Antarabangsa
- ASEAN Kekal sebagai Rakan Dagang Terbesar China
- Import Eksport Guangxi 2023 dengan ASEAN, RMB339 Bilion
- Hantaran Kargo Rel China-Laos Meningkat 94.91 Peratus
- 10 Tahun BRI, Bunga Mekar di Sepanjang Jalan