- Lain-lain
Ekspo Data 2024 Dijadualkan di Guiyang Akhir Ogos (3)
Ekspo Industri Data Raya Antarabangsa China 2024 dijadualkan berlangsung di bandar Guiyang, provinsi Guizhou pada 28 hingga 30 Ogos. Pentadbiran Data Kebangsaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak Guizhou untuk memastikan kerja-kerja persiapan berjalan lancar.
Difahamkan, ekspo kali ini buat julung-julung kalinya diatur atas anjuran bersama Pentadbiran Data Kebangsaan dan kerajaan provinsi Guizhou. Dengan tema “Simbiosis Pintar Digital: Mencipta Masa Depan Baharu bagi Pembangunan Berkualiti Tinggi Ekonomi Digital”, tumpuan pihak penganjur adalah pada penganjuran pameran profesional, makluman pencapaian, aktiviti pertukaran di peringkat industri serta acara-acara khas.
Berbeza dengan ekspo tahun-tahun lalu, edisi kali ini akan mengundang jabatan-jabatan yang berkenaan untuk membentangkan laporan kajian industri, spesifikasi teknikal, contoh-contoh tipikal dan lain-lain. Antaranya, Biro Data Negara akan memperkenalkan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai.
Fokus ekspo tahun ini akan tertumpu pada tiga perkara, iaitu ekonomi digital baharu, sistem prasarana data dan pemerkasaan data, di samping memilih dan mengumumkan beberapa pencapaian besar yang signifikan dari segi teknologi.
Selain itu, kepelbagaian pameran juga dititikberatkan. Enam seksyen pameran bertema akan disediakan, yang masing-masing memfokuskan industri digital, integrasi data dan realiti, perdagangan data, tadbir urus digital, prasarana digital, dan keselamatan data.
Pemain industri serta institusi domestik dan asing yang terlibat dalam bidang data, perindustrian, pertanian dan kewangan akan dijemput untuk mengambil bahagian, sekali gus mempamerkan segenap aspek trend pembangunan, pencapaian dan trend termaju dalam industri data baik di dalam negeri mahupun di seberang laut.