- Lain-lain
Servis Memasak di Pasar Basah Kini Jadi Pilihan Berbanding Masak di Rumah Atau Tapau
Servis berbayar untuk mengagihkan tugas kini menjadi satu kebiasaan termasuk untuk operasi, pengecasan, pembuatan, pengendalian atau pembelian, dan industri makanan juga tidak terkecuali.
Mutakhir ini, servis memasak telah muncul di pasar-pasar basah di bandar seperti Shanghai, Shenzhen dan Zhejiang, yang menyaksikan pelanggan akan membeli barangan segar di pasar, kemudiannya mengupah tukang masak di situ dengan bayaran yang kecil.
Di bandar Yiwu, provinsi Zhejiang, sebuah gerai yang baru buka pada bulan lalu berjaya meraih populariti apabila menerima kedatangan ramai pelanggan yang sanggup beratur untuk menunggu makanan mereka dimasak.
Salah satu pemilik gerai di pasar basah Shanghai, Li Dong menceritakan kesibukannya di ruang kedai berkeluasan 20 meter persegi itu sedari pukul 6.30 petang.
Seorang tukang masak menyediakan makanan di sebuah gerai di pasar basah. Bahan-bahan yang digunakannya adalah daripada pelanggan di pasar yang sama. (Foto ihsan individu yang diwawancara)
Li yang sudah berkecimpung dalam industri katering selama lebih 10 tahun telah menubuhkan gerainya lebih tiga bulan lalu yang khusus untuk masakan Suan Cai Yu, iaitu lauk ikan yang dimasak dengan kubis jeruk masam dan cili.
“Ramai individu di Shanghai khususnya pekerja di pejabat, tidak memasak di rumah. Situasi ini mendorong kami untuk memperkenalkan servis memasak,” jelas Li yang mengenakan bayaran RMB6 (RM3.6) untuk menyediakan lauk sayur-sayuran dan RMB12 untuk lauk berasaskan daging.
Seorang warga emas, Wang mengunjungi pasar basah di Yiwu buat kali kedua untuk menggunakan servis memasak yang kali ini mengupah tukang masak untuk menyediakan lauk berasaskan usus yang dibelinya di pasar berkenaan.
"Saya tinggal berhampiran pasar, dan kesedapan masakan mereka mengatasi masakan saya," kata Wang.
Berbanding dengan makan di restoran atau memesan bawa pulang, perkhidmatan ini memastikan kesegaran hidangan dan lebih ekonomi.
Kemunculan perkhidmatan memasak sebegitu bukanlah suatu kebetulan. Jin Jingxiu, seorang pengurus di pasar basah di Yiwu, menekankan bahawa permintaan pasaran adalah faktor penting untuk kemunculan dan pertumbuhan perkhidmatan ini.
Seorang tukang masak menyediakan hidangan di sebuah gerai di pasar basah. Bahan-bahan yang digunakannya diperolehi terus oleh pelanggan dari pasar yang sama. (Gambar ihsan individu yang ditemuduga)
"Pada mulanya, kami memikirkan idea itu dan kemudiannya menjalankan tinjauan untuk menilai keupayaannya. Menurut tinjauan itu, sejumlah besar individu bekerja dan penduduk tua yang tinggal dalam radius 1 kilometer, menunjukkan permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan ini. Selepas itu, kami mencadangkan idea itu dan melancarkan perkhidmatan memasak dengan bekerjasama dengan pemilik gerai,” jelas Jin.
Jin menekankan kepentingan memupuk kerjasama dalam kalangan pemilik gerai di pasar basah yang menandakan evolusi pasar basah tradisional menjadi pasaran pelbagai rupa dengan tawaran rangkaian perkhidmatan bersepadu.
Pada masa sama, terdapat juga keperluan untuk menambah baik infrastruktur di pasar basah juga. Sebagai contoh, menjelang akhir Ogos 2024, Kawasan Baharu Pudong Shanghai telah mengubah suai dan menaik taraf 25 pasar basah standard.
Li berkata, pasar basah ditempatnya beroperasi dengan penuh bersih dan diselenggara dengan baik, menawarkan kemudahan seperti penghawa dingin dan kawasan rehat yang ditetapkan. Selain itu, gerainya turut disepadukan ke dalam sistem pengudaraan dan pengekstrakan asap di pasar.
Zhu Danpeng, seorang penganalisis industri makanan, berkata bahawa servis memasak itu merangkumi konsep perniagaan inovatif yang disesuaikan dengan keperluan individu.
Jelasnya, untuk menerokai pasaran yang lebih luas, industri harus menumpukan pada penyeragaman, profesionalisme dan penjenamaan dengan meningkatkan perkhidmatan sokongan.
- Pasaran Wangian Berkembang Pesat di China
- Pasaran Pengguna Semakin Pulih
- Galakkan Pembaharuan Kelengkapan dan Tukar Beli Barang Penggunaan: Xi
- Jualan Runcit Produk Penggunaan China 2023 Cecah RMB47 Trilion
- Statistik Penggunaan Cuti Hari Kebangsaan, Pesta Kuih Bulan
- MOFCOM: Pasaran Perbelanjaan Semakin Pulih