- Lain-lain
Pertandingan Kemahiran Pertama Seksyen Boten-Vientiane Laluan Kereta Api China-Laos
Pertandingan kemahiran vokasional pekerja seksyen Boten-Vientiane laluan kereta api China-Laos pertama diadakan di lapangan Stesen Kereta Api Vientiane, Laos pada Selasa.
Pertandingan selama tiga hari itu bertujuan untuk berkongsi pengalaman, meningkatkan kemahiran para pekerja serta memilih dan memupuk pekerja mahir dalam sektor kereta api untuk Laos.
Sejak landasan kereta api China-Laos beroperasi secara rasmi, syarikat Laos-China Railway aktif merekrut pekerja domestik, menawarkan kursus latihan bagi menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai cara pemanduan kereta api, memeriksa dan membaik pulih tren serta mengaturkan jadual perjalanan perkhidmatan tren.
Usaha-usaha tersebut difahamkan bertujuan untuk memupuk sejumlah besar pekerja mahir dalam sektor kereta api untuk Laos yang turut menjadi praktik sebenar dalam pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) berkualiti tinggi.
Untuk rekod, pertandingan kali ini melibatkan sebanyak 17 jenis acara dalam lima kategori yang merangkumi memandu kereta api, perkhidmatan penumpang, pengangkutan kargo, lokomotif dan penyelenggaraan gerabak.
Seramai lebih 300 peserta termasuk pekerja dari China dan Laos menyertai pertandingan tersebut. Kemahiran yang dikuasai para peserta tersebut merupakan tahap vokasional tertinggi di seksyen Boten-Vientiane landasan kereta api China-Laos.
Pertandingan yang melibatkan pemeriksaan teori dan pengendalian secara praktikal ini diadakan di lima pusat pertandingan, iaitu Stesen Vientiane, Stesen Vientiane Selatan, Stesen Vang Vieng, Stesen Luang Prabang dan Stesen Boten.