- Lain-lain
Hidup Lebih Mudah apabila Petani Guna Teknologi
Seorang juruteknik menguruskan tumbuhan yang ditanam di dalam kontena di Shouguang, wilayah Shandong. (foto: Yang Jun/China Daily)
Robot dan peranti lain bawa pertanian teroka masa hadapan
Di sebuah syarikat teknologi pertanian di bandar yang dikenali sebagai "ibu kota sayuran China", tanaman tumbuh segar di dalam sebuah kontena.
Akar sayur-sayuran berdaun hijau ini direndam dalam air yang kaya dengan nutrisi. Skrin dalam bekas menunjukkan maklumat tentang suhu, kelembapan, kepekatan karbon dioksida, tahap pencahayaan dan kepekatan larutan nutrien.
Liu Pengpeng, penyelia projek sayuran kontena di Shouguang Xiangtian Agriculture Co di bandar Jitai, memberitahu bahawa anak benih sayuran mengambil masa selama 28 hari untuk membesar sebelum boleh dituai dan dipasarkan.
"Menggunakan sistem hidroponik, kami mereka bentuk ladang sayuran kontena mudah alih yang boleh menahan keadaan cuaca yang teruk agar sayur-sayuran segar ditanam secara tempatan sepanjang tahun," kata Liu.
"Tanaman yang baik sedang dihasilkan di ladang kontena dengan bantuan manual penanaman ini. Manual ini menerangkan cara mengawal sistem yang menyediakan semua yang diperlukan oleh sayur-sayuran seperti nutrien dan pencahayaan automatik," tambah Liu lagi.
Liu memberitahu bahawa sebuah kontena berukuran 40 kaki lazimnya digunakan untuk menanam kira-kira 5,000 sayur-sayuran berdaun hijau, bersamaan dengan 0.13 hektar tanah ladang.
Sejak pelancaran ladang kontena hidroponik pertama pada 2017, syarikat itu telah menjual lebih daripada 40 kontena, terutamanya kepada pelanggan di negara seperti Kanada, Rusia, Malaysia, Uzbekistan dan Emiriah Arab Bersatu.
Lebih 2,000 kebun seumpama dijangka dijual tahun ini apabila perniagaan pulih daripada pandemik COVID-19.