- Lain-lain
Shanxi, Pelopor Batu Arang "Hijau" Utara China
Deretan panel fotovolta yang dipasang di bukit menjadi pemandangan unik di pekan Nianzhang, kaunti Xiaxian, bandar Yuncheng, provinsi Shanxi. (foto: Zhang Xiufeng/ChinaDaily)
Pelan tindakan provinsi Shanxi untuk mengusahakan perlombongan batu arang secara karbon sifar sedang merintis jalan bagi transformasi ke arah mesra alam dan karbon rendah di utara China. Pakar juga melihat langkah provinsi itu sebagai pemangkin yang akan mempopularkan teknologi seperti "penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon" (CCUS) sekali gus menggalakkan perkembangan sektor perindustrian.
Shanxi, provinsi yang cukup kaya dengan batu arang, akan memilih kira-kira lima lombong untuk pengaplikasian teknologi membabitkan penjimatan tenaga, pengurangan karbon, pembekalan tenaga karbon rendah, serta penggunaan gas dan kawasan tadahan karbon, demi mencapai pelepasan karbon dioksida sifar bersih.
Tapak-tapak ini dijangka dapat mengurangkan lebih 20 peratus pelepasan CO2 per tan metrik batu arang mentah berbanding tahun 2020, justeru merealisasikan pelepasan sifar bersih menjelang 2030.
Wu Lixin, ketua pakar dari Institut Perancangan Industri Batu Arang di bawah Kumpulan Teknologi dan Kejuruteraan Batu Arang China berkata bahawa, "Peta jalan ini menawarkan pelan transformasi yang hijau dan karbon rendah buat industri-industri yang lazimnya karbon tinggi, dengan menyediakan kaedah mengira penunjuk yang berkenaan, misalnya keseluruhan pelepasan CO2 dan intensitinya. Ia juga menjadi rujukan untuk transformasi karbon rendah bagi kawasan yang kaya dengan sumber-sumber tradisional."
Wu menganggap pelan tindakan tersebut akan mendorong industri tenaga berkembang ke arah penggunaan yang bersih dan efisien. Kesannya akan dapat dilihat dalam perlombongan batu arang, penjanaan kuasa melalui pembakaran batu arang, serta industri keluli, logam bukan ferus dan pemprosesan bahan kimia berasaskan batu arang.
"Ia juga akan menggalakkan kemajuan dalam teknologi CCUS, di samping menaikkan standard dan norma bagi penerokaan batu arang dan mineral secara mesra alam, pembinaan, perkembangan dan penggunaan lombong batu arang, serta peralatan pemprosesan."
Lin Boqiang, ketua Institut China bagi Pengajian Dasar Tenaga di Universiti Xiamen pula berkata, pelan tindakan tersebut memperlihatkan komitmen Shanxi terhadap transformasi yang disasarkan.
"Selain CCUS, ada banyak teknologi yang membolehkan proses perlombongan batu arang dilakukan tanpa pelepasan karbon. Sebagai contoh, penggunaan sumber tenaga bersih seperti angin dan suria dalam operasi perlombongan, ataupun mengimbangi pelepasan melalui kawasan tadahan karbon dan perdagangan karbon."
Satu kajian yang diterbitkan jurnal Advanced Engineering Sciences menyebut pelepasan karbon daripada pembangunan dan penggunaan batu arang sebagai penyumbang utama kepada pelepasan karbon China secara keseluruhannya. Dapatan kajian menunjukkan kira-kira 60 hingga 70 peratus jumlah pelepasan negara pada 2021 adalah daripada sumber ini.
Shanxi, sebuah provinsi pengeluar batu arang sejak zaman dahulu, merekodkan output sebanyak 678.38 juta tan pada separuh pertama tahun ini, iaitu sekitar 29.5 peratus output negara, menurut biro statistik provinsi itu.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Shanxi telah mempercepat usaha mengintegrasikan pembangunan industri batu arang dengan teknologi pengurangan karbon. Setakat bulan Jun, Shanxi telah siap membangunkan sejumlah 46 lombong batu arang pintar dengan kapasiti pengeluaran canggih melebihi 80 peratus.
Sejak 2019, tahap penggunaan tenaga di provinsi itu telah turun secara kumulatif pada kadar lebih 13 peratus, berdasarkan makluman jabatan pentadbiran tenaga tempatan.
- Xinjiang Capai Kemajuan dalam Pemasangan Tenaga Hijau
- Elak Bahang Musim Panas di dalam Gua Ais Shanxi
- Tasik Garam Berwarna-warni Yuncheng: "Laut Mati China"
- Forum Pembangunan Industri Karbon Rendah Hijau CNE di Shanghai
- Jadikan Pembangkitan Luar Bandar China Sebagai Panduan: UN-Habitat
- China Pacu Pembangunan Hijau Sektor Perindustrian
- Industri Kejenteraan Beralih ke Arah Pintar dan Hijau
- Forum Data Dunia PBB Buka Tirai di Hangzhou
- Aktiviti Jejak Salasilah Keturunan Hongdong Dilancarkan
- China Capai Kemajuan Signifikan dalam Usaha Penghijauan