- Lain-lain
Elak Politikkan Kerjasama Tenaga Alternatif: Duta China
China menggesa negara terbabit supaya mengelak daripada mempolitikkan isu kolaborasi membabitkan teknologi industri tenaga alternatif.
Gesaan itu dibuat duta khas China mengenai hal ehwal perubahan iklim, Xie Zhenhua pada Forum China dan Globalisasi ke-9 di Beijing, Khamis.
Beliau memetik hasil penyelidikan sebagai berkata jika fahaman perlindungan perdagangan berlarutan, harga modul fotovolta dijangka akan meningkat 20 hingga 25 peratus menjelang 2030.
"Keadaan seumpama akan membantutkan matlamat yang ditetapkan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) untuk meningkat tiga kali ganda jumlah kapasiti tenaga boleh diperbaharui sehingga 2030.
"Adalah perlu untuk menghapuskan halangan perdagangan, di samping menyelaraskan landskap pembangunan tenaga boleh diperbaharui di peringkat domestik dan global," kata Xie.
Semua pihak harus mewujudkan suasana diplomatik yang kondusif untuk kerjasama sejagat, membina sistem ekonomi dan dagangan yang terbuka, mendukung multilateralisme dan globalisasi, serta menolak proteksionisme dan amalan unilateral, tambah beliau.