- Lain-lain
China, Thailand Bakal Bekerjasama dalam Misi Teroka Bulan
(Foto/Beijing Daily)
China dan Thailand akan bekerjasama dalam penerokaan dan memanfaatkan ruang angkasa lepas secara aman serta di Stesen Penyelidikan Lunar Antarabangsa.
Pengumuman tersebut merupakan susulan daripada dua memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA) dan Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, pada Jumaat, di Beijing.
Untuk rekod, misi penerokaan bulan Chang'e-7 China yang bakal dilancarkan sekitar 2026 akan dilengkapi dengan peranti pemantauan cuaca angkasa global yang dibangunkan Thailand, iaitu peranti khusus untuk memerhati sinaran kosmik dan cuaca angkasa dari perspektif bulan.
Ia sekali gus akan menjadi kali pertama bagi instrumen saintifik dari Thailand memasuki angkasa lepas dari orbit Bumi.
Bagi misi Chang'e-8 China yang akan dilancarkan sekitar 2028 pula, ia mengkhususkan kapasiti muatan sebanyak 200 kilogram untuk kerjasama antarabangsa, serta pelbagai aplikasi dari Thailand untuk robot-robot kerja permukaan bulan, sementara muatan saintifik kini sedang dalam pemilihan.
Pengarah Pusat Eksplorasi Bulan dan Kejuruteraan Angkasa CNSA, Guan Feng berkata China sedang melaksanakan fasa keempat program penerokaan bulannya dengan sasaran utama membina model asas Stesen Penyelidikan Lunar Antarabangsa.
Fasa keempat termasuk misi Chang'e-4, Chang'e-6, Chang'e-7 dan Chang'e-8.
Menurut MoU tersebut, China dan Thailand akan memperkukuh kerjasama dalam bidang penerokaan angkasa lepas, penggunaan angkasa lepas dan pembinaan kapasiti angkasa lepas, dengan melaksanakan projek angkasa lepas bersama, program pertukaran saintifik dan program latihan kakitangan, serta pertukaran data dan maklumat.
Difahamkan, kedua-dua pihak juga akan menjalankan penyelidikan berkaitan dan merangka rancangan mengenai demonstrasi, pelaksanaan kejuruteraan, operasi dan aplikasi Stesen Penyelidikan Lunar Antarabangsa.
Memetik MoU tersebut, negara-negara lain, organisasi antarabangsa, institut penyelidikan, universiti, entiti perindustrian dan saintis turut dialu-alukan untuk menyertai program Stesen Penyelidikan Lunar Antarabangsa, sekali gus mendapat manfaat daripada penerokaan angkasa lepas secara bersama.
"Dari segi kerjasama global, China telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan lebih daripada 10 negara dan organisasi antarabangsa.
“Lebih banyak negara dan organisasi antarabangsa dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam perbincangan, pembinaan dan perkongsian, bagi bersama-sama membina kemudahan penyelidikan saintifik di permukaan bulan untuk kemanusiaan sejagat," kata Guan.
- China Sasar Sempurnakan Misi Pendaratan Manusia di Bulan Menjelang 2030
- China Pastikan Matlamat Mendarat Bulan Tercapai Menjelang 2030
- Chang'e-6 akan Ambil Sampel di Sebelah Jauh Bulan
- Roket Long March-10 Capai Kemajuan Baharu Bagi Misi Pendaratan Bulan Bermanusia
- China Sasar Jayakan Misi Darat Bulan Bermanusia Menjelang 2030
- Saintis China Temui Bahan Kaca dari Tanah Bulan
- CNSA, APSCO Tandatangani Kenyataan Bersama Kerjasama Penyelidikan Bulan Antarabangsa
- Fasa Keempat Projek Eksplorasi Bulan Dipergiat
- Robot Buatan China Mampu Teroka Bulan, Marikh
- China Temui Mineral Baharu di Bulan