- Lain-lain
Malaysia-China Tingkatkan Kerjasama Ekonomi Digital, E-Dagang Rentas Sempadan
Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Ahmad Phadil Ismail menyatakan bahawa negara masih meneroka kaedah terbaik untuk bekerjasama dengan China dalam bidang ekonomi digital.
Dalam wawancara eksklusif bersama People’s Daily Online, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut dibincangkan pada peringkat tertinggi, termasuk semasa pertemuan Perdana Menteri kedua-dua negara di Beijing pada Mac tahun lalu.
Ahmad Phadil berkata, Malaysia melihat potensi besar dalam memanfaatkan ekonomi digital untuk membuka laluan baharu kepada pertumbuhan perdagangan.
“Meskipun e-dagang di China berkembang lebih pesat berbanding Malaysia, kerjasama dalam aspek peraturan dan piawaian akan menjadi langkah penting dalam memastikan transaksi e-dagang dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,” jelas beliau.
Konsul Jeneral Malaysia di Nanning, Ahmad Phadil Ismail menerima wawancara eksklusif People’s Daily Online. (Foto/People’s Daily Online)
Guangxi: Gerbang Utama Kerjasama ASEAN-China
Ketika diminta mengulas mengenai peranan Guangxi dalam mempromosi pertukaran atau kerjasama Guangxi dengan negara ASEAN, Ahmad Phadil berpandangan bahawa wilayah yang terkenal sebagai pintu masuk penting China ke negara-negara ASEAN itu mempunyai kelebihan dari segi hubungan darat dan laut.
Justeru, beliau berkata bahawa penganjuran acara seperti Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) telah membantu mempromosikan perdagangan, sama ada secara tradisional mahupun melalui e-dagang.
“Platform seperti ini penting dalam mengukuhkan hubungan perniagaan antara Guangxi dan negara-negara ASEAN,” ujar Ahmad Phadil lagi.
Promosi Produk Malaysia di Pasaran China
Dalam usaha mengembangkan pasaran e-dagang, Malaysia melihat produk pertanian sebagai yang paling mendapat manfaat. Durian, sarang burung, dan kopi putih adalah antara produk yang kini popular di China.
Konsul jeneral itu juga berpendapat bahawa produk halal Malaysia turut mempunyai potensi besar, terutamanya di wilayah seperti Gansu, Shaanxi, dan Ningxia sekiranya pasaran e-dagang dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Festival E-Dagang Guangxi 2025
Sebagai salah satu agenda dalam usaha mendalami kerjasama e-dagang dengan negara-negara ASEAN dan memperluaskan jalinan perdagangan digital antara China dan ASEAN, Guangxi New Silk Road New Year E-commerce Festival bakal dianjurkan di Nanning, ibu wilayah Guangxi pada malam Tahun Baharu 2025.
Atas kesempatan tersebut, Ahmad Phadil turut menzahirkan harapan agar penganjuran festival itu mencapai kejayaan cemerlang, sambil menyatakan bahawa e-dagang tidak mempunyai sempadan dan berperanan penting dalam mempererat persahabatan serta kerjasama Laluan Sutera.
- Platform Domestik Umum Tindakan Sokongan Kerjasama E-dagang
- Festival Beli-belah Antarabangsa China-ASEAN 2024 Dirasmikan di Guangxi
- Kawasan Barat China Teroka Potensi E-dagang dengan ASEAN
- Produk Vietnam, Guangxi, Xinjiang yang Jadi Pilihan Pengguna
- Perdagangan Buah-buahan Antara China, ASEAN Berkembang Maju
- Import Eksport Kargo China RMB28.58 Trilion Lapan Bulan Pertama 2024
- Import Eksport Guangxi ke ASEAN Naik 26.7%, Cecah RMB185 Bilion
- Data NBS: Dagangan China, Negara BRI Tumbuh 5.5%
- Duta Besar Malaysia Seru Industri China Manfaatkan MCS 2024
- Guangxi Mahu Jadi Hab Dagang Antarabangsa